Nak bayar Atau Dicalarkan? - Terowong Informasi

Breaking News

Nak bayar Atau Dicalarkan?

KUALA LUMPUR, -- Bayar atau kereta dicalar... itulah dilema yang dihadapi oleh warga kota apabila berhadapan dengan budak jaga kereta atau ulat parkir yang berkeliaran mengutip bayaran secara haram di kawasan tempat meletak kereta di sekitar bandar raya.

Kebanyakan yang terlibat dalam kegiatan itu merupakan golongan berumur di antara 17 hingga 30 tahun dan bayaran yang dikenakan ialah antara RM2 hingga RM10 bagi setiap kenderaan.

Tinjaun Bernama di sekitar Bangsar, Dataran Merdeka, Kampung Baru dan KLCC mendapati aktiviti ini bermula pukul 6 petang hingga lewat pagi di kawasan parkir bermeter dan sepanjang bahu jalan raya yang bergarisan kuning berhampiran kawasan kedai makan dan pusat hiburan.

Beberapa orang pengunjung yang ditemui melahirkan rasa tidak puas hati dengan sikap sesetengah budak jaga kereta yang berlagak seperti samseng dan kadangkala mengenakan bayaran yang tinggi untuk sekali masuk.

"Kadangkala mereka tengok juga jenis kereta yang dipakai. Kalau kereta mahal, lagi mahal bayaran yang dikenakan," kata Noorliyana Aishah Mohd Ismail, 23, penuntut sebuah institut pengajian tinggi awam.

"Kalau pengunjung enggan bayar, kereta mereka akan dicalar," katanya.

Budak jaga kereta berkenaan mengambil perhatian pemandu dengan berdiri sambil memegang lampu suluh kecil dan menyuluh ke arah pemandu kereta yang sedang mencari parkir.

Seorang penjawat awam, Sukri Mohammad, 51, berkata bila parkir di kawasan garisan kuning, kereta juga dicalar kerana menghalang laluan.

"Kita pula dah keluar duit bayar parkir mereka yang kononnya selamat... rugilah kalau macam itu," katanya.

Katanya adalah lebih baik bagi pemandu membayar lebih dan meletak kenderaan di tempat yang sepatutnya daripada menanggung kerugian membaik pulih kenderaan.

Terdapat juga situasi di mana budak jaga kereta mengawal kawasan meletak kereta seolah-oleh itu kawasan mereka dengan meletakkan kon atau batu bata bagi menghalang pemandu meletakkan kenderaan secara percuma sebaik sahaja tempoh membayar meter petak meletak kereta tamat.

Mohd Zuhdi Sabtu, 23, pekerja syarikat swasta berkata dia pernah dimarahi oleh budak jaga kereta kerana mengalihkan kon dan bagi mengelakkan pergaduhan, dia meletakkan kereta di tempat lain.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail ketika diajukan permasalahan itu berkata perkara seperti ini memerlukan kerjasama antara orang ramai sebelum dapat ditangani Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Kita sebagai pengguna, apabila kita tahu mereka ini ialah ulat dan tidak berhak mengutip wang upah parkir, kita jangan menggalakkan dengan membayar... jadi perkara seperti ini tak akan berlaku," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata banyak operasi telah dijalankan untuk menangkap ulat parkir itu namun pihak DBKL masih memerlukan kerjasama penuh orang ramai untuk memastikan ia berjaya.

"Apa alasan mereka untuk kutip bayaran tersebut dan kenapa mesti ganggu orang awam sedangkan pihak DBKL sendiri tidak mengenakan bayaran parkir pada waktu malam?" soal beliau. 
 

P/S : Hackers pernah terkena parking sekali masuk RM8 di Bukit Bintang akibat "ulat Jahanam" ni..

1 comment

mohdhazlan Dreadlock said...

bayar je kalu murah ..huhu

slm merdeka :)