Usiaku Sudah 128 Tahun - Kata Pak Ya'akob - Terowong Informasi

Breaking News

Usiaku Sudah 128 Tahun - Kata Pak Ya'akob


RANTAU PANJANG 11 Okt. - Seorang lelaki dari Kampung Bendang Ikan, Baroh Pial dekat sini mendakwa usianya kini mencecah 128 tahun walaupun tarikh lahir pada kad pengenalannya menunjukkan dia hanya berusia 97 tahun iaitu dilahirkan pada 2 September 1914.

Ya'acob Dris dari Kampung Siram, Jeram Perdah dan pernah berkahwin sebanyak tiga kali mendakwa, dia dilahirkan pada zaman pemerintahan Long Senik Mulut Merah yang memakai gelaran Sultan Muhammad II ketika memerintah Kelantan dari 1845 hingga 1886.

Menguatkan dakwaannya, dia memberitahu, ketika zaman tersebut penduduk di kampungnya hanya menggunakan periuk dan belanga yang diperbuat daripada tanah liat untuk kegunaan harian.

"Zaman itu juga belum ada kain kapan. Jadi, kami hanya menggunakan daun pisang dan guni untuk membalut jenazah sebelum dikebumikan. Mancis pun belum ada masa itu, kami guna minyak dan garam untuk nyalakan api.

"Mata wang yang digunakan ketika itu adalah wang syiling yang berlubang di tengahnya dikenali sebagai wang 'kenering'. Perkahwinan pertama saya, mas kahwinnya hanya 20 keping wang tersebut," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dakwanya lagi, dia juga sempat berperang menentang tentera Siam yang menyerang Kelantan untuk menjajah negeri ini sebelum termeterai Perjanjian Bangkok pada 1909.

"Ketika itu Pattani masih di bawah kerajaan Kelantan dan peperangan berlaku ketika Kerajaan Siam cuba menakluk negeri ini dan kami semua terpaksa berperang untuk mempertahankan kampung serta keluarga kami.

"Saya menggunakan senjata panah. Ramai tentera Siam yang mati ketika peperangan berlaku di kampung saya, Kampung Siram. Ketika itu mereka (tentera Siam) menggunakan gajah sebagai kenderaan," dakwanya.

Sementara itu, isteri ketiganya, Che Gayah Omar, 59, mendakwa, dia berkahwin semasa berusia 17 tahun dengan Yaa'cob yang ketika itu berusia 80-an dan mereka dikurniakan sembilan orang anak, lapan cucu dan seorang cicit.

Lelaki itu, bagaimanapun tidak mempunyai anak hasil perkahwinan terdahulu.

"Kalau ikutkan nombor pada kad pengenalan, usianya hanya 55 tahun ketika berkahwin tetapi saya yakin ketika itu usianya lebih tua berdasarkan raut wajah serta susuk tubuh.

"Ketika itu suami saya memiliki selaras senapang, tetapi selepas beberapa bulan berkahwin, anggota polis datang untuk mengambil senjata tersebut kerana mereka menganggap suami saya sudah tidak sesuai untuk menggunakan senapang kerana faktor usia," dakwanya lagi.

Biarpun usianya sudah lanjut, namun Ya'acob masih mampu berjalan tanpa sebarang bantuan, selain melakukan rutin harian seperti membersihkan kawasan rumah dan bercucuk tanam pelbagai jenis herba.

Selain mahir dalam perubatan tradisional, dia juga ialah guru al-Quran kepada kanak-kanak di sekitar kampung tersebut.

P/S : Panjang betul usia Pak Ya'akob ni kan?

3 comments

Anum said...

panjangnya umur
alhamdullilah

Mila Ahmad said...

mencatat rekodlah lelaki tertua

Munn Jaafar said...

wife die kawin umur 17 tahun dgn suami 80an? alhamdulillah kekal smpai skrg eh..