Proton Preve Dilancar Bulan Ini
PUTRAJAYA – Model kereta global terbaharu Proton, yang sebelum ini hanya dipanggil dengan menggunakan kod nama P3-21A disahkan sebagai Proton Preve.
Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd., Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir mengumumkan nama tersebut yang sebelum ini telah disebut-sebut dalam blog-blog permotoran tempatan.
Preve (disebut sebagai ‘prae vae’) menurut Syed Zainal, membawa maksud ‘proof’ (bukti) yang mana model terbaharu itu dianggap bukti kepada kemampuan Proton untuk mengeluarkan kenderaan berkualiti tinggi setanding dengan pengeluar kereta global yang lain.
Katanya, Preve juga membawa makna ‘envision’ (membayangkan) dalam bahasa Sepanyol.
“Proton Preve akan dilancarkan di pasaran domestik dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.
“Kami akan turut memperkenalkan versi yang lebih sporty untuk model ini pada masa akan datang seperti versi R3 atau versi enjin CFE yang menggunakan transmisi manual,” katanya pada sidang akhbar sempena sesi pandu uji Proton Preve bersama media di sini semalam.
No comments
Post a Comment