Pemakaian Seluar Ketat Merbahaya? - Terowong Informasi

Breaking News

Pemakaian Seluar Ketat Merbahaya?

Pada zaman sekarang, tidak dinafikan bahawa ramai orang sukakan gaya mengikut fesyen terkini dan digilai ramai, lebih-lebih lagi golongan remaja. Mereka sering menukar penampilan mengikut peredaran zaman. Remaja lelaki khususnya gemar memakai seluar ‘skinny’ dan mengikut fesyen yang digemari wanita itu.
Apa yang paling menarik ialah seluar ‘skinny’ itu terbukti menjadi kegilaan ramai selain meraih populariti dalam kalangan remaja Malaysia. Pemakaian seluar jenis ini sebenarnya bertujuan untuk kelihatan lebih bergaya, namun terdapat juga remaja memakainya untuk kelihatan lebih kurus daripada saiz badan sebenar. Kebiasaannya seluar dipakai itu ketat kononnya untuk kaki tampak kecil dan elok dipandang.
Disebalik itu, ramai remaja menghadapi pelbagai kesukaran apabila menyarungkan seluar yang terlampau ketat itu. Ada yang sampai melompat-lompat kerana saiz pinggang terlalu kecil. Walaupun begitu, ada saja yang taksub sehingga tidak memikirkan kesan buruk. Jika ke tandas, sudah pasti ia menjadi penghalang besar buat si pemakai ini.

Sebenarnya, pakaian diciptakan bukan untuk memberikan bentuk atau saiz badan yang kita tidak miliki dan di situlah remaja menghadapi masalah. Banyak masalah kesihatan timbul akibat daripada pemakaian seluar yang terlalu ketat itu.
Berdasarkan kajian daripada pakar bedah vaskular Dr Nicholas Morissey, pemakaian seluar ‘skinny’ yang ketat boleh menjadikan kaki anda rasa kebas pada paha atau lebih dikenali sebagai ‘meralgia paresthetica’. 

Menurut Morissey, terdapat saraf deria datang daripada pelvis yang bertindak memberikan sensasi ke bahagian paha anda.

Remaja yang memakai seluar ‘skinny’ yang ketat bagaimanapun merasa kebas akibat daripada pengecilan saraf pada paha itu. Ketika duduk, paha akan mengalami tekanan tinggi dan apabila berdiri, anda tidak akan dapat rasakan pergerakan kaki. Menurut Morissey, keadaan ini tidak berbahaya namun apabila ia kerap berulang, maka ia boleh menyebabkan keadaan kaki kejang itu berkekalan. 

Pakar neurologi, Dr John Michael Li pula berkata, remaja yang menderita sindrom seluar ketat biasanya akan rasa tidak selesa pada abdominal, pedih ulu hati dan masalah sendawa apabila memakai seluar ketat itu. 

Kebiasaannya seluar yang dipakai bersaiz tiga inci yang terlalu kecil untuk saiz pinggang seseorang remaja.

Penasihat perubatan, Dr Orly Avitzur pula memberitahu bahawa makanan tidak akan hadam apabila terdapat tekanan pada bahagian abdomen. Pemakaian seluar ketat ini boleh membawa kepada masalah lebih serius seperti makanan tidak boleh dihadamkan dengan betul dalam kalangan remaja yang menghadapi masalah pedih ulu hati. Seluar yang terlalu ketat memburukkan lagi keadaan itu.

Lelaki terutamanya perlu berhati-hati dan mengambil berat dalam aspek pemakaian. Jika mereka tetap memilih seluar ketat sebagai pelengkap fesyen, risikonya amat tinggi. Misalnya, remaja lelaki akan hadapi masalah kilasan testis di mana satu testis akan berpintal dengan sendirinya. Jika tidak dirawat, pintalan itu akan memotong peredaran darah dan seterusnya testis akan mati. Ingat tu kepada kaum lelaki.

Selain itu, remaja lelaki juga akan mengalami lemah kawalan kencing dan jangkitan saluran kencing. Lebih buruk lagi apabila bilangan sperma menurun dan kulat akan mudah merebak pada bahagian kelamin akibat daripada pemakaian seluar yang ketat ini. Silap-silap boleh mati pucuk.

Bagi mereka yang gemarkan seluar ‘skinny’ memanglah tidak salah memakainya, namun perlu juga buat pemilihan yang betul. Bagi mereka yang mempunyai saiz badan besar adalah dinasihatkan memakai seluar bersesuaian dengan saiz mereka. Kalau tidak ada saja masalah kesihatan timbul sekiranya dibiarkan secara berterusan.
Remaja lelaki khususnya perlu mengenakan seluar ‘skinny’ yang longgar dan tidak ketat untuk melancarkan saluran udara dalam seluar bagi mengelakkan jangkitan kuman dan sakit pada bahagian alat sulit.

Sekiranya masalah kesihatan dialami berlanjutan, jangan teragak-agak berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan sewajarnya agar kesakitan itu tidak membawa padah.