Ratusan Ikan mati Di Muara Sungai Melaka - Terowong Informasi

Breaking News

Ratusan Ikan mati Di Muara Sungai Melaka

Muara Sungai Melaka
Melaka: Ratusan ikan laut dan air tawar daripada pelbagai spesies ditemui mati di muara Sungai Melaka berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), di sini.
Difahamkan, kejadian yang berlaku sejak semalam membabitkan ikan seperti ikan bawal, kitang, belanak dan keli. Pengarah Jabatan Alam Sekitar Melaka Abd Hapiz Abd Samad berkata, pihaknya sudah melakukan pengukuran kualiti air di sungai terbabit dan mendapati kejadian itu bukan disebabkan pencemaran. 

“Kita sudah melakukan uji kaji pada air berkenaan dan ikan mati bukan akibat pencemaran air oleh toksik dari kilang berhampiran, sebaliknya kandungan oksigen terlarut dalam air dilaporkan berkurangan. “Ini mungkin disebabkan hujan lebat Isnin lalu menyebabkan air dari hulu Sungai Melaka yang melalui kawasan bandar membawa bahan organik iaitu pelepasan daripada sisa dapur rumah dan restoran,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Abd Hapiz berkata, empangan muara sungai berkenaan yang tertutup menyebabkan ia mereput dan mengeluarkan kandungan karbon dioksida yang tinggi. 

“Ikan-ikan yang ditemui mati disebabkan kadar kemasinan air di situ rendah iaitu pada bacaan tujuh. Ikan-ikan laut itu mungkin termasuk ke sungai terbabit ketika air pasang dan terperangkap selepas empangan di muara berkenaan ditutup lalu berlakunya perubahan habitat yang menyebabkan ikan itu tidak dapat hidup lama,” katanya.

Sumber : Harian Metro