Perginya Insan Bernama Ibu - Terowong Informasi

Breaking News

Perginya Insan Bernama Ibu


Gambar Sekadar Hiasan

Lama Bro menyepi dalam dunia blog. Menyepi bukan sekadar suka-suka tetapi terdapat masalah peribadi. Tahun ini merupakan tahun yang berbeza bro sambut Hari Raya Aidilfitri. Apa bezanya adalah, ketiadaan mak tersayang yang telah ke rahmatullah baru-baru ini pada 11hb Jun 2015. Pemergian beliau amat terasa di hati kerana beliaulah merupakan tempat satu-satunya bro meluahkan perasaan.


Semasa hayat beliau, banyak kenangan yang bro lalui bersama arwah mak. Sebelum beliau sakit teruk ini, dapat juga aku berjasa pada beliau ketika beliau di hospital. Mandikan beliau, bersihkan najis beliau, dukung beliau dan sebagainya seperti mana beliau menjaga bro sewaktu bro masih kecil dahulu. Tiada perasaan geli pun di hati ini kerana ia adalah tanggungjawab bro sebagai anak lelaki.


Ketika beliau tenat pula, bro sanggup tidak tidur sangat kerana mahu menjaganya. Doktor sudah memberitahu awal mengenai status keadaan arwah mak dan doktor telah sedaya upaya untuk menyelamatkan arwah mak tapi Allah S.W.T lebih menyayangi beliau. Pada jam 11.25am, 11hb Jun 2015, beliau menghembuskan nafas terakhir beliau di depan bro dengan kakak bro. Sempat juga mengajar mengucap di telinga arwah berulang kali. Semasa mandikan, kafankan dan masuk ke liang lahad, dapat bro buat bersama kakak buat kali terakhir. Kini, arwah mak sudah pergi selamanya. Hanya doa dari kami sahaja yang kami mampu berikan. Yang hidup pasti akan merasakan mati. Semoga roh arwah ditempatkan ke dalam golongan insan yang soleh dan golongan syurga yang dijanjikan olehNya. Terima kasih juga kepada doktor dan staff jururawat Hospital Besar Sultanah Aminah, Johor Bahru akan bantuan dan kerjasama yang mereka berikan kepada arwah mak. Terima kasih diucapkan.

Zainab Bte Zol
1954 - 2015

Al-Fatihah...

No comments