Anonymous Malaysia Ditahan
Tiga individu dipercayai terbabit dalam memuat naik klip video dilaman YouTube bertajuk ‘We Will Blast Malaysia’ berjaya ditahan dalam beberapa serbuan di Johor Bahru, semalam.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim mengesahkan penahanan berkenaan berkata, semua mereka berusia 18 hingga 21 tahun diberkas hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman selepas mereka mengancam untuk menggodam sistem komputer dan laman web agensi kerajaan.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa barangan peribadi milik individu terbabit untuk siasatan lanjut. Semua mereka kini ditahan mengikut Seksyen 5 Akta Jenayah Komputer 1997 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya.
Difahamkan, semua mereka yang dipercayai pelajar memuat naik video berdurasi satu minit 28 saat itu menggunakan nama Anonymous Malaysia dengan memaparkan insiden letupan bom di Bangkok Thailand baru -baru ini dan mendakwa akan membuat tindakan sama di Malaysia.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius perkara itu kerana ia berupa ancaman kepada negara dan orang ramai.
“Kami tidak akan berkompromi dengan segala bentuk ancaman yang dilakukan pihak tertentu untuk menggugat keselamatan dan ketenteraman negara ini.“Ia satu ancaman yang kita tidak pernah pandang remeh dan akan bertindak serta mengenal pasti pihak berkenaan. Kami sedang siasat ancaman itu dan pihak yang melakukan ancaman. Kita sudah melakukannya,” katanya kepada media selepas majlis perasmian Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, semalam.
Perasmian disempurnakan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar. Turut mencemar duli Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Polis Johor Datuk Rusli Ahmad.
Pada masa sama, Khalid mengecam tindakan individu tertentu termasuk pengamal undang-undang yang memberi kenyataan bahawa menyertai perhimpunan yang tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa adalah hak rakyat.
No comments
Post a Comment