China Bina Teleskop Radio Terbesar Dunia - Terowong Informasi

Breaking News

China Bina Teleskop Radio Terbesar Dunia




BEIJING: Kerajaan China kini sedang giat menyiapkan pembinaan teleskop radio terbesar dunia, dalam usaha kuasa baharu dunia itu membangunkan program angkasa lepas. Piring gergasi dibina di kawasan pergunungan tenggara wilayah Guizhou, China, direka untuk mengesan bunyi dari angkasa lepas. Kelsey Warner yang menulis untuk akhbar The Christian Science Monitor, berkata ia adalah teleskop radio pertama dibina di China dan akan membolehkan program angkasa lepas China mengumpul data secara bebas.

Agensi berita Xinhua melaporkan, Ketua Pengarah Persatuan Astronomi China, Wu Xiangping, berkata saintis China sudah lama bergantung kepada data angkasa dari program angkasa lepas di seluruh dunia, yang menghalang kemajuan mereka. Dengan ukur lilit 1.6 kilometer, piring gergasi itu akan menjadi teleskop radio terbesar dunia. Kedudukannya yang terpencil tanpa pekan dalam jarak 4.8 kilometer di sekelilingnya akan mengurangkan gangguan. "Dengan memiliki teleskop lebih sensitif, kita boleh menerima mesej radio lemah dan lebih jauh. Ia akan membantu kami mengkaji kehidupan luar galaksi dan menerokai asal alam semesta," kata Xiangping. 



Bukti lain komitmen Beijing terhadap program angkasa lepasnya ialah dua bulan lalu kerajaan mengumumkan rancangan untuk melakukan pendaratan di bahagian lain bulan. Ia dianggap satu misi yang perlu dicapai sebelum tahun 2020. Beijing minat untuk menjadi sebahagian daripada projek Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS). Namun, China dilarang daripada menyertai program ISS berikutan satu undang-undang diluluskan Kongres Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2011 yang menghalang hubungan rasmi dengan program angkasa lepas China berikutan kebimbangan keselamatan. 


Penyandang teleskop radio paling berkuasa di dunia ketika ini dipegang oleh Arecibo Observatory di Puerto Rico yang dikendalikan AS. Namun, tambahan projek baharu China atau dikenali sebagai FAST dilaporkan bakal merampas kedudukan itu menjelang tahun 2016. Minggu lalu, kerja pemasangan pembalik cahaya teleskop terbabit bermula, berukuran diameter 91.44 meter dan diperbuat daripada 4,450 panel pemantul. Setiap satu pemantul berbentuk segi tiga sama bucu dengan panjang 10.97 meter. - AGENSI

No comments