Tiada Bukti Saintifik Susu Soya Sesuai Untuk Pembesaran Bayi
Bro ada terbaca satu artikel mengenai produk susu soya untuk bayi dan ternyata ia tidak sesuai untuk bayi sebenarnya. Kita selalu melihat iklan-iklan di media massa mengenai kebaikan Susu Formula yang berasaskan kacang soya.
Terdapat pakar perubatan kanak-kanak memberitahu dengan terperinci mengenai kesan atau keadaan di mana penggunaan susu soya boleh disyorkan berdasarkan kepada maklumat saintifik terkini. Susu ibu merupakan susu terbaik di dunia kerana mengandungi zat protien yang tinggi. Sekiranya, penyusuan susu ibu tidak dapat diteruskan atas sebab tertentu, susu formula bayi berasaskan protein lembu adalah pilihan alternatif yang disyorkan.
Protein soya adalah berasal dari sumber tumbuhan. Secara amnya, kualiti protein dari sumber tumbuhan adalah lebih rendah berbanding kualiti protein dari sumber susu manusia atau dari sumber susu lembu. Ia disebabkan kekurangan sesetengah jenis asid amino yang amat diperlukan untuk pertumbuhan fizikal yang sihat. Tambahan pula, susu soya mengandungi kandungan aluminium dan "phyto-oestrogens" berlebihan yang kesan jangka panjangnya terhadap tubuh badan manusia masih belum diketahui dengan terperinci buat masa ini.
Penggunaan susu soya hanyalah terhad kepada kanak-kanak yang menghidapi penyakit 'Galactosaemia' iaitu sejenis penyakit metabolik yang jarang berlaku dan kanak-kanak yang menghadapi masalah 'Isolated Lactose-intolerance' iaitu ketidakbolehan menghadamkan gula laktosa yang terkandung di dalam susu lembu dan manusia. Peranan susu berasaskan protein soya di dalam rawatan masalah alahan kepada protein lembu tidak dapat dinafikan, tetapi ingin ditegaskan di sini bahawa masalah alahan protein lembu jarang berlaku dan sekiranya berlaku, penggunaan susu berasaskan protein soya hanya terhad untuk bayi berusia 6 bulan ke atas yang disahkan oleh pakar perubatan bahawa bayi mempunyai masalah ini.
Untuk dikongsikan bersama...
No comments
Post a Comment