TMJ Tegur FAM Lagi - Terowong Informasi

Breaking News

TMJ Tegur FAM Lagi



Pertama sekali, saya ingin menegaskan, saya bersuara dan memberikan pendapat demi kemajuan bolasepak negara, bukan seperti tanggapan sesetengah orang bijak pandai yang mengatakan kerana saya tidak terpilih dalam kongres FAM tempoh hari. Sekiranya diberi peluang untuk mengambil alih jawatan sebagai presiden FAM sekalipun, buat masa ini, saya tidak berminat. Ini kerana saya lebih sayangkan negeri Johor dan Persatuan Bolasepak Negeri Johor. Saya juga sedar bahawa saya tidaklah sehebat presiden persatuan bola sepak negeri-negeri lain.
Berkenaan dengan isu teguran saya terhadap perlawanan persahabatan pasukan negara bersama Terengganu, saya tidak bersetuju bukan hanya kerana pasukan negara bermain dengan pasukan Terengganu tetapi saya tidak bersetuju pasukan negara bermain dengan mana-mana pasukan dalam negara. Pasukan negara seharusnya bermain dengan pasukan-pasukan bertaraf antarabangsa yang secara tidak langsung dapat membantu pasukan dan dapat memperbaiki "ranking FIFA" pasukan negara.

Kesempatan ini juga ingin saya ambil peluang untuk menerangkan beberapa perkara berkenaan arena bolasepak negara. Pertama sekali, pasukan yang terkaya dan kurang menghadapi masalah kewangan adalah Felda United. Ini adalah kerana Felda merupakan sebuah syarikat yang tersenarai dalam bursa saham utama. Pasukan lain termasuk Johor perlu bekerja keras mencari penaja demi bersaing dalam liga tempatan. Kalau ditanya mana-mana presiden persatuan bolasepak negeri, mereka akan luahkan betapa susahnya untuk mereka mendapatkan belanjawan yang kukuh untuk setiap tahun.
Saya berharap, suatu hari nanti, kita dapat menswastakan liga kita seperti di England dan negara-negara Eropah yang lain. Apabila liga diswastakan, ianya dapat mengurangkan beban pasukan yang bersaing di liga tempatan. FAM sebagai badan induk pentadbir bolasepak negara hanya berperanan sebagai koordinator liga sahaja. Sebagai contoh terbaik, Astro telah memberikan penajaan kepada FAM sebanyak RM30 juta untuk tahun ini. Sepatutnya persatuan-persatuan negeri masing-masing menerima sebanyak RM1 juta sehingga RM2 juta, tetapi persatuan hanya menerima RM150,000 sahaja.
Saya tiada sebarang masalah dengan FAM, cuma saya menegur pengurusan pasukan kebangsaan. Jadi saranan saya kepada tuan-tuan yang bijak pandai, cuba berfikiran terbuka apabila saya menegur FAM berkaitan pasukan negara, program pembangunan dan belanjawan. Ianya semua demi kebaikan bolasepak tanah air, dan untuk semua pihak persatuan dan kelab negeri mendapat manfaat kerana tanpa persatuan-persatuan dan kelab bolasepak tempatan maka tiadalah liga Malaysia dan tanpa liga Malaysia, tiadalah FAM.
DYAM Brigader Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Sumber : Johor Southern Tiger fanpage

No comments